KASUT KOYAK



TARIKH TERBIT: 1 JANUARI 2021

ISBN: 978-967-2925-04-0

PENULIS: HUSBAH HARIS

PENERBIT: SMARTWORK SOLUTION PUBLISHING & TRAINING

MUKA SURAT: 152

HARGA: RM30

ISI KANDUNGAN:

Prakata………………………………………………………………………….. ii

Bab 1: Menerima lamaran………………………………………………… 1

Bab 2: Mulut Puaka………………………………………………………… 9

Bab 3: Vape siapa?………………………………………………………… 15

Bab 4: Siapa Aini?………………………………………………………… 23

Bab 5: Zikri hisap rokok………………………………………………… 37

Bab 6: Ustazah, maafkan saya………………………………………… 44

Bab 7: Mungkin bapa tiri?……………………………………………… 52

Bab 8: Kisah Riana……………………………………………………….. 58

Bab 9: Kasut koyak………………………………………………………. 69

Bab 10: Lumba Motor…………………………………………………… 74

Bab 11: Escape Solat…………………………………………………….. 80

Bab 12: Ponteng sekolah……………………………………………….. 88

Bab 13: Miza kena pukul……………………………………………….. 95

Bab 14: RM 1…………………………………………………………….. 101

Bab 15: Kartika anak manja………………………………………….. 110

Bab 16: Lebih 21 orang pelajar……………………………………… 114

Bab 17: Craving jadi pondan………………………………………… 120

Bab 18: Tingkatan 3 Harapan……………………………………….. 126

Bab 19: Anugerah Guru Perihatin 2019…………………………. 140

PENUTUP…………………………………………………………………. 145

KATA-KATA MOTIVASI KEIBUBAPAAN………………… 148

BIODATA PENULIS…………………………………………………. 153

 

PENGENALAN:

Bab 1: Menerima lamaran

 

“Sekolah bukan sekadar tempat menuntut ilmu, bahkan menjadi bengkel untuk memperbetulkan jiwa manusia yang sakit”

 

Bila tiada kelas, ada masanya kami berbual-bual sambil makan goreng pisang. Pasti ada saja topik yang dibualkan. Cerita perihal pelajar di dalam kelas, itulah topik paling hangat, yang kerap kami bualkan. Bila bercerita tentang gelagat-gelagat pelajar, kami ketawa keriangan. Rasa penat mengajar beransur hilang. Namun adakala, sedih yang teramat dek sikap sesetengah pelajar yang diistilahkan sebagai ‘kurang ajar’.

            Sedang asyik kami berbual, Tuan Haji Rafi datang menyapa.

“Wah, cerita gosip apa hari ini?” gurau Haji kepada kami.

            Beliau merupakan PK HEM disekolah. Kami lebih selesa memanggil beliau dengan gelaran Haji. Orangnya sporting dan ramah. Sangat mudah bergaul dengan beliau.

“Ha ha, santai-santai bah Jie.”

Kak Suhaini membalas spontan. Kami yang berada disitu pun turut ketawa bersama.

“Makan pisang goreng Jie.” Saya mempelawa beliau.

“Ustazah Husbah pun pandai sudah ikut bergosip ya.” sakat beliau kepada saya, sambil mencapai seketul pisang goreng.

“He he ..”saya tertawa kecil.

            Cikgu Suardi menyambung semula cerita tentang kelas sejarahnya. Tidak berhenti kami ketawa. Siapa yang tidak kenal Cikgu Suardi, orangnya sentiasa optimis dan positif. Namun, ada kalanya boleh naik ‘gila’ juga bila berdepan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah disiplin.

            Seronok mendengar pengalaman mereka berbual perihal pelajar masing-masing. Ketika itu saya masih bergelar seorang guru baru di sekolah itu. Baru saja posting bulan julai tahun lepas. Pengalaman yang ada masih terlalu cetek untuk diceritakan.

“Ustazah, ikut saya sekejap.” Haji Rafi memanggil saya.

“Ada apa Jie?”saya agak terkejut .

“Nah, bakal sudah tu.” Ustaz mohammad pula mula menyakat.

“Tak boleh lari sudah kau tu Husbah.” Kak suhaini menyampuk sambil ketawa.

“Nah, habislah kau Husbah.” Cikgu Suardi menambah.

“Bakal apa ya?”  Hati saya mula tertanya-tanya. Risau.

Haji membawa saya berbual tidak jauh dari mereka, hanya ke hadapan sedikit saja.

“Begini ustazah, saya mau ‘lamar’ ustazah jadi guru disiplin.”

Haji Rafie berterus terang. Namun belum habis beliau menerangkan, cepat-cepat saya menyekat.

“Saya tidak mahu haji!”

“Sabar ustazah, dengar dulu.”

“Tak boleh haji, saya masih baru, saya tidak pandai tu jadi guru disiplin, mau marah-marah pelajar. Tidak ngam bah dengan jiwa saya.”

Berjela-jela saya menolak.

“He he …”Haji Rafi tertawa kelucuan .

Betul ni haji, tolonglah. Saya tidak mahu jie. Biarlah saya cari-cari pengalaman dahulu.”

Saya tidak berhenti menolak. Saya benar-benar tidak mahu. Serius.

“Tugas guru disiplin bukan untuk marah-marah pelajar, ustazah, saya boleh nampak ustazah boleh tarbiahpelajar.” kata haji memujuk.

            Haji mula memancing saya dengan ayat-ayat pujian. Ah, tapi saya tetap berkeras tidak mahu. Pandai pula Haji sebut soal tarbiah. Ini semua hela dan saya masih tidak termakan ‘umpan’ itu.

“Janganlah haji, ada guru lain lagi yang lebih layak dan sesuai, saya masih kurang pengalaman.”

Wajah saya mula suram. Saya benar-benar tidak mahu menjadi guru disiplin.

            Ketika itu saya sendiri tidak menyedari bahawa sempitnya tanggapan saya terhadap jawatan guru disiplin. Mana tidaknya, sejak dibangku sekolah lagi  kita sudah terbiasa dengan watak guru disiplin yang garang, susah senyum, bahkan amat sukar didekati pelajar. Itu sangat tidak kena dengan diri saya.

            Sebab itulah bermati-matian saya menolak. Meskipun jika akhirnya, jawatan itu telah diputuskan oleh pihak pentadbir sekolah. Maka saya terpaksa akur. Namun, atas baik budi Haji Rafi, beliau memberikan hintlebih awal agar saya tidak terlalu terkejut nanti.

 

 

“Ini peluang ustazah, menegakkan amar ma’ruf nahi mungkar di sekolah, sayang jika ustazah menolak.” Haji Rafi menambah.

            Ayat menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ itu tiba-tiba menyentap hati saya. Ya, kata-kata tuan haji ada benarnya. Ini adalah peluang untuk saya.

“Tapi jie….”Saya menjadi serba salah.

“Ustazah cuba dahulu, kita ada team untuk berkerjasama nanti.” Haji memberi harapan.

            Saya hanya mengangguk, dengan otak yang ligat berfikir. Dalam hati ada kebimbangan dan rasa takut. Jawatan guru disiplin adalah jawatan yang tidak digemari oleh kebanyakan guru termasuklah saya sendiri.

“Boleh ya ustazah?”

            Saya hanya tersenyum hambar, tidak tahu harus berikan jawapan apa ketika itu. Itulah ‘lamaran’ menjadi guru disiplin 5 tahun lepas. Sehingga ke hari ini saya masih memegang jawatan yang sama. Kata- kata tuan Haji Rafi masih segar dalam ingatan saya iaitu menegakkan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’. Disebabkan ayat itulah saya akur untuk menerima amanah itu.

            Setelah menjadi guru disiplin, saya rasa seolah-olah masuk ke dunia yang lain. Seperti seorang detektif. Saya lebih sensitif terhadap masalah  pelajar, saya belajar untuk menjadi pendengar yang baik dan lebih peka terhadap apa yang berlaku di sekolah.

            Demi Allah, sejak saya bergelar guru disiplin, barulah saya benar-benar dapat melihat, betapa banyaknya masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar. Dari sekecil-kecil masalah sehinggalah masalah yang tidak masuk akal.

            Saya mulai sedar begitu banyak jiwa manusia yang sedang sakit dan memerlukan rawatan hati ke hati. Berapa ramai pelajar-pelajar yang datang ke sekolah hari ini dengan hati yang sudah lama ‘koyak’. Jiwa mereka kosong!

            Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang daripada ahli lembaga disiplin sekolah. Banyak yang saya pelajari. Jika saya menolak lamaran 5 tahun yang lepas. Pasti saya tidak merasai pengalaman yang cukup berharga seperti hari ini.

            Membetulkan jiwa manusia yang sedang sakit adalah tugas yang lebih berat berbanding memikul dua bongkah batu yang besar. Namun, jika amanah ini dilepaskan, saya tidak tahu berapa ramai lagi jiwa-jiwa yang terbiar sakit sehingga menjadi barah. Amanah yang dipikul ini bukan sekadar menggunakan  rotan yang panjang, akan tetapi memerlukan saya menggunakan hati dan jiwa seluas alam. Agar mampu menyelami isi hati para pelajar yang ‘istimewa’ ini.

Peluang sudah ada,

Sasaran dakwah sudah jelas,

Apa lagi alasan saya?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui ”

(Surah Al-Baqarah, 216)

Boleh dapatkan buku ini melalui penulisnya:

https://www.facebook.com/husbah.haris