Bermacam-macam ujian telah singgah dalam hidup ini. Sungguh, dua kali saya berhadapan dengan situasi diuji dengan kehilangan pekerjaan. Ketika itu, begitu sukar mendapat pekerjaan dan bila sudah dapat saya dipecat pula. Allahuakbar!
Saya terduduk. Kecewa. Menangis sepuasnya. Dunia terasa gelap. Saya protes kehidupan ini. Ia seperti tidak adil buat saya.
Hati kecil berbisik, ‘Perjuangan 10 tahun belajar dalam bidang Sains, perlukah aku mengalah walau sudah seperti kalah? Atau mungkin bidang pengajiankah yang salah? Sampai bila aku sebegini lemah?’
Perlahan-lahan saya bangkit dari sakit. Saat itu hanya ada satu lagi pilihan untuk mempertahankan cita-cita itu melanjutkan pengajian ke peringkat Ph.D
Lalu saya menyiapkan proposal. Pertemuan dengan bakal penyelia diatur dan cadangan kajian Ph.D diserahkan untuk pertimbangan.
“Cadangan penyelidikan kamu amat baik. Tapi saya minta maaf. Tidak ada geran untuk penyelidikan ini.”
Semangat yang baru naik, turun serta merta. Sekali lagi saya kecewa.
Akan tetapi hari ini saya amat berterima kasih pada Tuhan kerana menghadirkan ujian-ujian kecil dalam hidup. Kerana dengan ujian itu membuatkan saya benar-benar mengenali Dia, Ar Razzak, Yang Maha Memberi Rezeki, selain saya juga dapat mengenali diri sendiri. Daripada situ barulah saya sedar rupanya dalam diri kita ada kekuatan untuk terus bangkit walau berulang kali diuji.
Sepertimana firman-Nya,
“Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)
Kawan, bangkitlah walau sakit!
Inilah namanya kehidupan. Kadang-kadang kita tidak dapat apa yang kita mahu tetapi akhirnya barulah kita tahu bahawa yang itulah sebenarnya yang terbaik buat kita apabila Allah telah merubah segalanya.

Mungkin kita rasa perancangan kita sudah cukup hebat, namun perancangan Allah jauh lebih hebat. Ya, Allah is the best planner! Maka bergantunglah sepenuhnya kepada-Nya.
Saat ujian menyapa tiada istilah kegagalan, cuma yang ada hanyalah pengajaran buat kita untuk berfikir.
“Syukur pada-Mu Ya Allah, Tuhan Semesta Alam yang memberi limpahan nikmat buat hamba-Mu yang kerdil ini untuk terus berjuang. Ujian yang Engkau hadiahkan kepada hamba-Mu ini adalah pelajaran untuk lebih sabar, syukur, tetap bersemangat dan redha atas segala ketentuan. Terima kasih Ya Allah”
Suka duka kehidupan ini telah banyak mengajar saya memahami putaran hidup yang dinamakan sebagai kejayaan dan kegagalan. Ketawa dan menangis. Atas dan bawah. Hitam dan putih. Ia adalah warna warni kehidupan yang cukup indah.
Saya persembahkan buku ini buat kalian, ADA APA DENGAN UJIAN?Semoga kita akan sentiasa berkata, “Terima Kasih Ujian. Terima Kasih Ya Allah. Engkau sebaik-baik perancang”
Mudah-mudahan penulisan ini diterima sebagai amal jariah yang berpanjangan dan menjadi peneman di alam yang kekal abadi kelak. Saya juga mendoakan semoga kita semua mendapat manfaat daripada buku ini.
Amin Ya Allah!
Farrawati Sabli
Julai 2018