Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

Satu lagi masalah umum dalam penulisan adalah buku yang ditulis tidak siap. Ada yang menyimpan manuskrip sehingga bertahun-tahun kerana penulisan hanya sekerat jalan. 

Bagaimana mengatasi masalah ini? 

Saya kongsikan 7 cara untuk meningkatkan motivasi menulis.

1. Jelas akan tujuan utama menulis

Tujuan menulis boleh dikatakan juga sebagai NIAT menulis. 

Tanyakan diri anda berulang kali, apakah niat anda menulis buku? 

Jika niat dan tujuan itu jelas, insyaAllah anda akan bersemangat untuk siapkan penulisan sehinggalah diterbitkan. 

Ada yang ingin menjadikan penulisan itu untuk menyampaikan dakwah.

Ada yang ingin menjadikan penulisan itu untuk amal jariah.

Apapun niat anda, biarlah ia menjadi tujuan yang tertinggi iaitu mencapai redha Allah SWT dan mungkin jalan ke Syurga. 

Sekiranya perkara ini sangat jelas, insya-Allah, anda tidak pernah akan hilang motivasi untuk menulis buku. 

2. Siapkan cover buku lebih awal 

Sebelum menulis, siapkan cover buku awal-awal. Anda boleh mencipta cover buku sendiri menggunakan aplikasi Canva.com, upah designer dan sebagainya. 

Perkara ini penting kerana anda dapat membayangkan buku itu ada di tangan. 

Motivasi untuk menyiapkannya akan datang dengan sendiri.

3. Maklumkan tentang buku anda pada orang-orang yang tertentu

Kulit buku sementara yang telah dibuat boleh dikongsikan kepada kawan-kawan seperjuangan, keluarga terdekat atau mentor anda. 

Ia lebih baik daripada anda hanya berdiam diri dengan matlamat ini. 

Antara tujuannya adalah minta didoakan agar urusan penulisan ini dipermudahkan. 

Satu lagi, jika orang lain telah tahu tentang buku anda, satu cabaran yang kuat untuk anda menyiapkannya. 

4. Wujud di kalangan orang-orang yang menulis

Bina hubungan dan ‘circle’ dengan para penulis lain. Sekiranya anda lihat ada penulis lain yang telah terbitkan buku, anda juga akan tercabar menyiapkan buku anda. 

5. Fokus dan konsisten

Setiap hari pastikan menulis. Walau sedikit, tapi biarlah ia dilakukan setiap hari. Kini, terdapat banyak platform untuk menulis seperti di FB, Blog, Twitter dan sebagainya. 

Teruskan menulis setiap hari agar ia menjadi satu tabiat.

Bila terbina tabiat menulis ini, sehari tidak menulis akan terasa sesuatu yang tidak kena.  

6. Tetapkan due-date

Tetapkan tarikh, bila anda akan menyiapkan buku anda? 

Sekiranya berjaya disiapkan, anda tulis apakah hadiah buat diri sendiri diatas pencapaian itu?

Celebrate it!

7. Dekatkan diri dengan Tuhan

Banyakkan berdoa.

Selepas berusaha, serahkan segalanya kepada Tuhan.

Ilham dan penulisan itu segalanya datang dari Dia.

Itu antara cara untuk memotivasikan diri kita untuk menyiapkan penulisan. 

Mudah-mudahan bermanfaat.

Dari,

Farrawati Sabli

Penulis Buku Motivasi Islamik

Ada Apa Dengan Ujian

Ada Apa Dengan Rezeki

Kenangan mempromosikan buku ‘Ada Apa Dengan Ujian’ di booth Karya Bestari, Karangkraf
Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2019)