Sudah seminggu, sebelum tidur anak-anak berpesan,
‘Mama, mama bangun jam 4 pagi kan, kasi bangun kami aa, kita jogging’
Oo, maksudnya anak-anak sudah tahu jam berapa mak dia ni bangun. Sejak mereka dalam perut lagi, itulah rutin saya. Hehe..!
Iya, masa-masa itulah saya bangun dan menulis. Sudah menjadi kebiasaan kerana di siang hari saya amat sibuk menguruskan anak-anak, masak, kemas rumah dan sebagainya.
Masa ’emas’ untuk menulis adalah sekitar 3am-5am dan saya rasa rugi jika dibazirkan masa itu dengan hanya tidur. Sebelum subuh dan selepas subuh. Biarlah kurang tidur sekarang, nantikan kita akan ‘tidur’ juga buat selamanya.
InsyaAllah, merancang terbitkan 3 lagi buku solo untuk tahun ini, menjadikan 4 semuanya.
Buku orang lain yang saya bantu edit dan terbit juga sentiasa ada. Alhamdulillah, rezeki. Dan ini sedikit sumbangan saya buat ummah.
Kenapa saya terus menulis dan menulis?
1. Untuk anak-anak
Background pendidikan saya adalah sains. Saya masih belum mampu berkongsi dan ulas tentang dalil-dalil dan hadis dengan mendalam. Tapi, dengan perjalanan hidup yang saya kongsi dalam buku, anak-anak boleh belajar.
Andai mereka besar nanti, bertanya tentang ujian yang mereka sendiri lalui. Saya akan beri mereka buku ‘Ada Apa Dengan Ujian’, buka bab tentang Indahnya Sabar.
Andai ingin bertanya tentang rezeki, saya akan minta mereka buka buku ‘Ada Apa Dengan Rezeki’. Semuanya atas pengalaman peribadi saya.
2. Ilmu yang bermanfaat
‘Bila anak Adam meninggal dunia, terputus segala amalan kecuali 3 perkara. Sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak soleh’ –Hadis Riwayat Muslim
Jadi dengan menulis perkara baik-baik, InsyaAllah itulah ilmu bermanfaat yang kita tinggalkan.
Kata pepatah menyebut, ‘Harimau mati meninggalkan belang’. Saya tambah, ‘Biarlah manusia mati meninggalkan nama dan buku’. Sekurang-kurangnya, bila kita tiada lagi di dunia ini, ada buku-buku yang kita tinggalkan.
3. Terapi
Bila saya kerap menulis, rupanya ia menjadi terapi yang terbaik buat diri saya.
Saya pernah marah seseorang, hati berkecamuk. Tidak tenang. Dalam keadaan begitu saya buka al-quran untuk mencari ketenangan, biasanya akan jumpa jawapan. Semua ini pertolongan Allah. Dari situ saya akan menulis dan siap satu bab ‘Indahnya Maaf’. Lalu kemarahan saya tadi hilang begitu saja asbab menulis.
Kawan-kawan, aturan hidup kita ini cukup indah. Ayuh kita tulis ‘Takdir Yang Tertulis’ oleh Allah SWT dalam hidup kita sendiri ataupun perjalanan hidup yang telah kita lalui.
Cari hikmah setiap kejadian, dan tulislah!
MomWriterpreneur