5 TEKNIK MENGURUS TEKANAN KETIKA FASA COVID-19
Bila diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, maka banyaklah perancangan yang tergendala terutamanya buat peniaga. Tetap akur dengan perintah yang ditetapkan oleh kerajaan ini demi untuk mencegah penularan Covid-19.
Namun, siapa sangka kes Covid-19 ini masih menular sehingga ke tahun 2021, malah angka kian hari kian meningkat.
Apa yang terjadi, PKP sambung lagi dan lagi. Maka, ini menyebabkan ramai yang terkesan dari segi ekonomi, mental dan emosi.
Izinkan saya kongsi 5 teknik mengurus tekanan berdasarkan pengalaman sendiri selama berdepan dengan pandemik ini.
Benar, pada awalnya saya juga turut tertekan sehingga beberapa kali terpaksa ke hospital kerana bacaan tekanan darah tinggi.
Antara teknik untuk mengurus tekanan ketika kita duduk rumah dan bekerja dari rumah bersama anak-anak adalah:
PERTAMA: BERSYUKUR
Apapun terjadi, tetap bersyukur. Syukur kita kena duduk rumah, mungkin selama ini lebih banyak masa kita sibuk di luar rumah dengan aktiviti perniagaan atau sebagainya.
Bayangkan orang lain, frontliner yang bertugas di hospital, bertungkus lumus sepanjang hari membantu pesakit Covid-19.
Fokus kepada kesyukuran setiap hari. Syukur pada oksigen yang kita hidup setiap hari. Tahukah anda, para pesakit Covid-19 yang sudah ke tahap kritikal, bergantung dengan alat bantuan oksigen di hospital. Setiap hari oksigen dipantau, ada yang terpaksa ditidurkan untuk memastikan oksigen dalam paru-paru meningkat.
Bukankah setiap nafas yang kita hirup secara percuma ini satu nikmat yang benar-benar kita perlu syukuri?
Walaupun kita dalam keadaan yang sulit ketika ini, cuba hitung nikmat yang mungkin selama ini kita lupakan.
Dengan bersyukur, kita akan semakin tenang. InsyaAllah.
KEDUA: BEREHAT
Duduk di rumah sambil bekerja dari rumah, disamping menguruskan anak-anak yang tidak dapat ke sekolah pastinya membuat kita lelah. Ambil masa untuk berehat.
Dalam jadual yang kita buat sepanjang bekerja dari rumah, pastikan ada masa untuk rehat. Untuk saya sendiri, saya akan pastikan tidur sebentar sebelum solat zohor selama 10 minit hingga 20 minit.
Jangan abaikan masa rehat walau sesibuk manapun kita. Penting juga untuk cukup masa tidur.
Sediakan peralatan kesihatan di rumah contohnya cek suhu, cek tekanan darah dan cek kandungan gula dalam darah. Pemantauan kesihatan di rumah penting kerana potensi untuk dapat hypertention adalah tinggi. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.
KETIGA: BAHAGIA CARA KITA
Di fasa PKP ini, kita terlalu banyak berkurung di rumah. Namun, cuba ubah terkurung itu jadi sesuatu yang membahagiakan.
Bagaimana caranya?
Cuba cari apa yang membuatkan anda bahagia ketika berada di rumah. Contohnya, berkebun, menanam bunga, kemas rumah, masak dan sebagainya.
Kadang rutin kita setiap hari akan membosankan, inilah pentingnya kita buat aktiviti yang menggembirakan.
Pengalaman saya, pelbagai projek saya buat di rumah contohnya buat transformasi rumah, pasang wallpaper, ubah suai dan general cleaning. Saya juga berkebun setiap petang dan ia jadi terapi minda.
Apa aktiviti yang menggembirakan hati anda?
Buatlah mengikut kreativiti sendiri, yang penting kita bahagia dengan cara kita sendiri.
KEEMPAT: BERINISIATIF
Apa yang tidak boleh kita buat ketika PKP?
Buat kelas secara bersemuka.
Membeli belah.
Tidak dapat balik kampung atau merentas daerah.
Lepak lama-lama di shopping mall.
Perkara yang tidak boleh kita buat, usahlah kita paksa keadaan untuk membolehkannya.
Caranya, kita kena cari inisiatif lain bagi mencapai objektif yang sama.
Contoh:
Sebelum PKP, saya tidak pandai mengajar secara online. Inisiatif saya ialah belajar, berlatih dan bertindak untuk lakukan kelas online. Lama-lama, norma baharu ini jadi sebati dalam kehidupan.
Tidak dapat ke shoping mall, shopping lah online. Ini inisiatif kita.
Lebih baik berinisiatif dari asyik mengeluh itu tidak boleh ini tidak boleh.
Mengeluh tidak akan mampu melenyapkan virus Covid-19 di muka bumi ini, tetapi akan melenyapkan masa-masa berharga yang tidak akan kembali lagi.
KELIMA: BELAJAR DAN BAIKI DIRI
Dengan masa yang masih bersisa ini, ambil peluang untuk belajar benda baru.
Buka YouTube, taip saja apa yang anda ingin belajar.
Dengar ceramah agama, motivasi dan sebagainya. Kelas-kelas online secara percuma juga banyak ketika ini. Ambillah peluang keemasan ini.
Berazam untuk jadi individu yang lebih baik dari sebelum ini.
‘Jadikan setiap fajar di pagi hari awal hidup anda, dan jadikan tenggelamnya matahari sebagai penutup. Lalu, sepatutnya kita yang menjalani hidup pendek ini, tinggalkan catatan demi kebaikan yang dilakukan demi orang lain. Dan kumpulkan kekuatan dan pengetahuan demi diri sendiri’
Itulah antara 5 teknik mengurus tekanan ketika fasa Covid-19.
Semoga bermanfaat.
Sahabat,
ANDA TENANG, ANDA MENANG!
-Puan Farrawati Hj Sabli
Semoga kita semakin tenang dan bahagia. Amin!